CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, January 16, 2010

Sabar ajelah.......





" Assalamualaikum En Jaafar, lama tak datang, sihat ?". Aku menyapa seorang lelaki separuh umur yang juga merupakan regular customer dari cawangan lain yang cukup 'cool' aku kenali. "Wassalam, aha sibuk, sihat tak sihatlah kena gerak juga, nak hidup..." Nadanya agak aneh daripada yang biasanya, aku hanya tersenyum dan membukamkan diri, mesti moody ni dalam hati berteka teki, lalu aku biarkan saja.




"Lain macam aje bunyinya..." sampuk Mas rakan sebelahku. " Apa taknya,dulu jaga 2 orang, sekarang dah 3 orang, pening kepala ni " sambil menepuk-nepuk dahinya yang lapang. Apa yang aku tahu kisahnya sebelum ini, dia menjaga seorang anak lelaki OKU dan seorang anak perempuan yang lumpuh akibat kemalangan 2 tahun yang lalu, isterinya dah meninggal, dan segala tanggungjawab semua terbeban dibahunya, kesihan juga...,dan kali ini dia turut menjaga ibunya yang sedang sakit tua. 'Sabar ajelah En Jaafar,dugaan tu, ehmmm berganda pahala tu ..." Mas menjawab. " Ikutkan hati tak sabar, dah tak ada sabar ni, pahala pun dah jadi dosa, saya tak fikir pasal pahala dosa lagi, mengarut semua." Aku agak terkejut dengan jawapannya, dalam hati berkata, wah menjadi besar marahnya kalau berterusan begini. Kami berdua tersenyum pahit bercampur baur......





"Kurang ajar !" satu penampar singgah ke muka Mia, sejak kebelakangan ini Azrul menjadi manusia yang hilang sifat kesabarannya, jika dulu tidak begitu sikapnya.Entahlah...entah iblis mana yang telah merasuk masuk kedalam jiwanya tak tahulah, Mia sendiri tak tahu kenapa,segala tanggungjawab terhadap keluarga turut terabai. Sebagai sahabat apa yang dapat aku membantunya, selain mengungkapkan perkataan 'bersabar' saja, bagi kita yang tidak menghadapinya memang senang dan mudah mengatakan sabar, tapi bagi diri Mia sendiri yang terpaksa menghadapinya ?




" Inilah nasib kita Siah, terima ajelah...." Ungkapan yang sering terkeluar daripada mulut Pak Enal terhadap isterinya, pada setiap kali isterinya mengeluh mengenangkan nasib yang menimpa keluarganya tanpa sebarang usaha dibuat, menyerahkan segalan nasib pada takdirnya Allah.




Insiden-insiden seperti di atas, adalah antara sebahagian daripada kejadian-kejadian yang menguji manusai pada sifat 'sabar'.Sifat sabar adalah antara sifat yang perlu ada dalam diri setiap insan.Setiap manusia pasti akan diuji dengan pelbagai ujian dan cabaran dari Allah S.W.T. dan sifat sabarlah yang akan membantu manusia mengharungi setiap cabaran dan ujian yang mendatang.




Tetapi sejauhmanakah kesabaran yang ada dalam diri hamba-hambaNya.Pun begitu adakah sabar itu bererti hanya mendiamkan diri saja apabila ditimpa ujian, seperti Nasib Pak Enal dan Mak Siah ? atau kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sedia ada manusia harus terus-terusan berdiam diri sahaja tanpa ada sebarang usaha atau tindakan untuk keluar dari musibah tersebut walaupun sering dianiaya dan didera seperti kisah Mia dan Azrul ? Menyerahkan kepada takdir saja cukupkah ?




Istilah sabar sebenarnya adalah amat luas, terpulanglah kepada kita untuk mentafsirkannya, bak kata orang, bumi mana yang tidak ditimpa oleh hujan, begitulah juga nama pada sebuah kehidupan, insan tidak pernah sunyi daripada ujian Tuhan.Jalan hidup tidak pernah lurus dan mudah, malahan laluan yang berliku-liku....




Tiada masalah yang tidak ada solusi, mungkin kekadang kita tidak sedar, bahawa sifat sabar itu sebenarnya merupakan salah satu daripada 99 nama Tuhan @ Asma Allah yang agong.Sabar adalah sifat yang perlu ada dalam diri setiap insan. Setiap manusia pasti akan diuji dengan pelbagai ujian dan sifat sabarlah yang akan membantu manusia mengharungi setiap cabaran yang mendatang.Tetapi sejauhmanakah sabar akan terus bertahan ? Selagi kita hanya duduk diam sahaja apabila ditimpa ujian tanpa ada usaha-usaha kearah kebahagiaa dan keceriaan pada sebuah kehidupan? Fikir-fikirkan lah.....

Saturday, January 9, 2010

ERTI SEBUAH KASIH SAYANG......



Pagi tadi semasa dalam perjalanan daripada Kluang ke Bndr Tenggara Kulai, satu kejadian yang berlaku didepan mata menjadi saksi segala-galanya......




Siibu dan sianak seolah-olah tidak mahu meninggalkan sisuami dan jua siayah kepada sianak bersendirian disitu, kenderaan yang lalu lalang menjadikan jalan sibuk dan 'jem', airmata siisteri dan sianak berguguran deras, melihatkan darah merah yang mengalir dari kepala dan tubuh suaminya tak henti-henti, dan sementara aku yang menyaksikannya juga turut merasa sedih..,takdir Tuhan tidak siapa yang dapat menahannya, sebuah perpisahan dari sebuah kematian adalah amat menyedihkan.....




Seorang tua cuba memindahkan siisteri dan anaknya di tepi jalan, sementara mayat sisuami cuba ditarik ketepi, dikuit kaki suaminya berkali-kali dengan harapan sisuami masih ada harapan untuk hidup, sementara sianak tak henti-henti meratapi siayah disisi. Siayah cuba menyelamatkan isteri dan anaknya daripada sebuah lori tangki yang membawa gas, tapi dalam pada masa yang sama,laluan kereta yang memotong laju telah mengenai dirinya. Kasihan siayah demi cintanya terhadap anak dan isteri, nyawa dan badan terpaksa menjadi taruhan....




Tragedi menyayat hati pasti tidak dapat dielakkan, seandainya ketentuan takdir telah tiba masanya tanpa mengira makhlukNya.Inilah kisah kesedihan yang menimpa keluarga sekelompok monyet yang sedang sibuk menyeberangi sebatang jalan raya. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh haiwan ada ketikanya melebihi nilai kasih sayang yang dipaparkan oleh manusia seperti kita.Oleh itu cuba kita renungkan bersama.....

Erti dan nilai sebuah kasih sayang.......

Friday, January 8, 2010

ADUH !!!!


'Aduh.....,rasa macam nak hentak kepala ni kat dinding" Lama kelamaan pandangan menjadi kabur, seluruh badan menjadi sejuk dan beberapa jam selepas itu sakit kepala yang teruk menyerang.Terasa berdenyut-denyut di dahi, pelipis ( bahagian kepala antara hidung dan telinga) dan terasa berat di sekitar mata sebelah kanan, dan menjalar ke leher dan bahu. Ada ketikanya rasa nyeri seperti disusuk dengan jarum, tekak mula terasa loya dan muntah dan padahnya akan menjadi sensitif terhadap bunyi dan suara. Ehmmm....MIGRAIN penyakit biasa orang-orang ASIA.





Kata orang.......


- Jangan mengambil minuman yang mengandungi kafein ( aku tak pernah ambil....)


- Stres dan tekanan ( ada kemungkinan......)

- Jadual tidur yang tidak tetap ( memang selalu aku langgar, apatah lagi kalau dah menghadap
computer, leka......)

- Terhidu bau yang menusuk, bunyi yang bising dan asap rokok ( ehmmm...sudah pasti, aku
cuba untuk mengelakkannya tetapi sukar....sebab bukannya setiap masa kita berkurung di
dalam rumah , keadaaan persekitaran yang 'terpaksa' kita lalui )

- Makanan yang mengandungi thyramine seperti keju ( memang aku tak suka ambil )

- Makanan yang yang mengandungi monosodium glutamate (MSG) sukar dielakkan, apatah
lagi kalau membeli makanan di luar )

Dan lain-lain.......( itu aje yang aku tahu melalui pengalaman )





Aku termenung.......



Terfikir dalam hati, tidak adakah ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini secara total agar ia tidak akan berulang lagi....jumpa Doc. macam tulah juga, ubat makan tak jalan...., sesekali nak juga mencuba mengambil injection voltaren, tapi rasa takut pulak...





Melalui satu pembacaanku daripada sebuah buku, perkataan migrain adalah berasal daripada perkataan Yunani hemicrania yang bermaksud " separuh kepala "Migrain merupakan suatu bentuk sakit kepala yang disebabkan oleh gangguan pembuluh darah didalam otak mengecut .Pengecutan pembuluh ini seterusnya menggangu fungsi otak sehingga merangsang serangan migrain.Banyak kajian yang dibuat mengenai migrain, namun hingga kini ianya masih belum cukup jelas mengapa seseorang itu menghidap migrain.





Serangan migrain biasanya dapat dikurangkan dengan ubat tahan sakit seperti paracetamol yang hanya melegakan rasa sakit yang ringan dan sementara, dan bagi serangan migrain yang lebih berat, paracetamol langsung tidak memadai.





Melalui satu pembacaan saya menemui satu rujukan , 'Perubatan nabawi 'seperti satu sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Abu Darda, maksudnya " sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan menyediakan bagi setiap penyakit ada ubatnya.Maka berubatlah dan jangan berubat dengan unsur yang haram " ( Riwayat Abu Daud no 3876).






Bagaimana Perubatan Secara Nabawi ?



1.Mengikat kepala


Daripada Ibn Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w. berkhutbah kapada kami dalam keadaan kepala Baginda diikat.

Dalam satu hais sahih disebut saat Rasulullah sakit menjelang wafat, Baginda bersabda yang bermaksud " aduh, kepalaku !" Baginda mengikat kepalanya pada waktu sakit (Riwayat al-Nasa'i, Ibn Majah dan Ahmad )





2. Relax dan berdiam diri







Syeikh Dr.Muhammad Musa al-Nasr menyebut di dalam bukunya bahawa Imam Ahmad telah meriwayatkan hadis daripada Buraidah bahawa Rasulullah s.a.w. mungkin mengalami migrain sehingga Baginda berdiam diri satu atau dua hari dan tidak banyak berkata-kata.


Teknik ini dipercayai mampu menghindarkan serangan migrain apabila terdapat tand-tanda awal.Tidur dan rehat yang secukupnya merupakan ubat yang paling mujarab.







3. Berbekam






Daripada Salma, seorang khadam Rasulullah s.a.w. mengatakan . " Tidak seorang yang mengadu sakit kepalanya kepada Rasulullah s.a.w. melainkan Baginda mengatakan, " Berbekamlah," dan tidak juga rasa sakit di kedua kakinya melainkan Baginda bersabda 'Pakaikan inai pada kedua-duanya.' (Sahih Sunan Abi Daud )





Berbekam mengikut kata Syeikh Dr.Muhammad Musa al-Nasr, dilakukan di kepala untuk mengeluarkan bahan-bahan yang berbahaya pada bahagian atas badan. Baginda Rasulullah pernah berbekam ketika Baginda berada dalam keadaan berihram daripada rasa sakit yang dirasakan di kepala Baginda. Dengan berbekam seseorang akan terasa lebih segar, kepala terasa ringan dan pandangan menjadi lebih jernih.





Sebenarnya aku cuba untuk melakukan perubatan secara berbekam ini dan sedang mencari-cari hingga saat ini, ramai rakan-rakan mencadangkan tempat untuk membuat bekam, InsyaAllah satu hari nanti aku pasti akan mencubanya, walaupun sesekali rasa takut membelenggu diri namun aku akan mencubanya pasti !!!! Semoga penyakit migrain yang aku alami ini akan segera sembuhnya.



Sunday, January 3, 2010

ANTARA TANGGUNGJAWAB DAN TUGAS



Jika dipandang sekali imbas tidak ada bezanya antara tanggungjawab dan tugas kan ! Esok adalah hari permulaan persekolahan 2010. Bagi pelajar ianya adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai pelajar dan anak, manakala guru ianya adalah satu tugas dan sekaligus tanggungjawab yang perlu digalas bagi membimbing dan dalam memberi dan menyalurkan ilmu kepada pelajar-pelajarnya....




Sementara aku adalah ibu dan pekerja yang terpaksa memikul tanggungjawab dan tugas yang agak berat untuk dilaksanakan, sebagai ibu adalah menjadi tanggungjawabku untuk memastikan segala keperluan anak-anak dan keluarga dibuat dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tapi bukan kerana keterpaksaan, dan didalam pada masa yang sama aku juga adalah ibu yang bertugas untuk membantu dan menambah pendapatan keluarga, di waktu dan zaman ini ekonomi keluarga perlu diperkukuhkan untuk menjamin kesejahteraan sebuah kehidupan berkeluarga, tak perlulah untuk kita membeza-bezakan zaman ini dengan zaman kehidupan ibu bapa kita zaman dahulu, segala-galanya berbeza mengikut peredaran zaman, "dengan 10 orang anak, hanya ayah kamu yang bekerja, hidup juga,jadi orang juga anak-anak emak " kata-kata biasa yang didengari tika membuat perbezaan zaman emak dan zaman kita.




Seperti biasa jam 5.00 pagi aku mesti bangkit dari bilik beradu, ehhmmm...location pertama adalah kedapur, buka peti ais sambil berfikir-fikir " apa aku nak masak ni !!!!", sarapan pagi dan makan tengahari perlu aku sedia dan masak untuk mereka, nasi goreng untuk sarapan pagi , ayam masak kari untuk makan tengahari dan bekal untuk anak-anaku kesekolah satu kemestian, bagi gergirl dan dik biha yang bersekolah jenis kebangsaan cina telah aku wajibkan untuk membawa bekal, no any reason for that.




Pukul 7.00 pagi tugas aku menghantar mereka ke sekolah agama, sementara adik biha aku hantar ke taska yang berdekatan, bagi sekolah kebangsaan bas akan menggambil dan menghantar mereka pulang, dan begitulah tugasan dan tanggungjawab yang perlu aku laksanakan pada setiap hari pastinya...




Bagi anak-anakku dan anak-anak yang lainnya ' Selamat kembali ke sekolah, dan tanamkan azam di dalam diri kamu semangat untuk belajar dengan bersungguh-sungguh, kerana itu adalah tanggungjawab yang perlu kamu lakukan demi masa depan yang belum tentu dan demi impian ibu ayah yang sentiasa mengharapkan sebuah kejayaan daripada kamu sebagai anak.'




Sementara kepada para guru ' Selamat bertugas dan selamat memulakan sesi pengajaran, tugas sebagai guru bukan hanya setakat itu tetapi yang lebih utama adalah tanggungjawab yang telah dimanahkan oleh Tuhan untuk membimbing anak bangsa dan agama.'

Saturday, January 2, 2010

KEHIDUPAN UNTUK MEMBERI DAN MENERIMA








Melihatkan tajuknya agak sukar untuk diterjemahkan, persoalannya mengapa kita hidup untuk memberi dan mengapa adakalanya kita enggan memberi ? Ramai orang pada hari ini gagal dalam hidup kerana melebihkan dan mementingkan bagaiama utnuk mendapatkan, berbanding bagaimana untuk memberi.Sedangkan mengikut kajian, orang yang berjaya dalam hidup ialah mereka yang banyak memberi.




Dan pada hari ini manusia hilang kebahagiaan kerana sikap suka memberi semakin terhakis sedikit demi sedikit.Ramai yang beranggapan dengan mendapat sesuatu mereka akan lebih berjaya dan bahagia dalam kehidupannya.




Kata bijak pandai " memberi lebih gembira daripada menerima."Benarkah memberi lebih gembira daripada menerima ?Kalau ditanya, antara memberi hadiah dengan menerima hadiah, mana lebih gembira ?Tentu ramai yang menjawab, menerima hadiah.Betul tidak ? Jadi di mana letaknya kebenarannya ungkapan itu ?Kita sering terlupa hikmah yang diungkapkan menerusi kata-kata ini : " We make aliving by what we get but we make a life by what we give " ( Kita membina hidup dengan apa yang kita dapat, tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan ) Solusi Isu # 14.




Idea terputus....dah masuk waktu maghrib...yang wajib mesti didahulukan, dan aku akan sambung lagi selepas ini........




Catatan bersambung semula..................

Apabila kita melihat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. dimana Islam yang sangat sinonim dengan amalan memberi dan dengan kedatangan Baginda telah memberi rahmat kepada sekelian alam.Sejarahnya memaparkan dimana Baginda memberikan tenaga,harta malah jiwanya untuk manusia mendapatkan hidayah Islam dan ianya merakamkan Baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah.Sewaktu susah, Rasulullah s.a.w. memberi dengan penuh kesabaran, dan sewaktu senang Baginda memberi dengan penuh kesyukuran.Hinggakan pernah pada satu masa Baginda tidak dapat melelapkan mata kerana asyik memikirkan kalau-kalau masih ada lagi wang berbaki yang belum disedekahkan.




Sebenarnya apabila kita membincangkan sikap memberi dan menerima ini terlalu jauh skop pemahamannya, dengan pandangan yang berbeza-beza pastinya, bagiku ini adalah sebahagian daripada pandanganku....




Didalam Islam memberi bukan sahaja kepada yang hidup bahkan kepada mereka yang telah meninggal dunia.Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud " Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima : menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengikuti jenazah ( ketanah perkuburan ), memenuhi jemputan dan menjawab bersin." (Riwayat al -Bukhari no 1183).




Dan apabila mati seseorang manusia itu, maka akan terputuslah daripadanya segala amalannya kecuali 3 perkara iaitu : Amal jariahnya,ilmu yang bermunafaat dan doa daripada anak yang soleh, bukankah ketiga-tiga diatas adalah berasaskan sifat memberi ?



Adalah tidak susah untuk menggembirakan orang lain.Mungkin hanya dengan kata-kata, mungkin hanya dengan senyuman ataupun dengan doa, lalu berikanlah kegembiraan kepada orang lain, percayalah ia akan datang semula kepada kita.......